$$

Thursday, July 10, 2014

Bonus Raya Rm500


KUCHING 9 Julai - Kira-kira 22,000 penjawat awam di bawah kerajaan negeri bakal mendapat 'durian runtuh' setelah kerajaan Sarawak bersetuju memberikan bonus khas sempena Hari Raya Aidilfitri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd. Morshidi Abdul Ghani berkata, keputusan tentang berapa jumlah bonus diberikan akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet negeri yang mungkin diadakan minggu depan.
"Dari segi jumlah, biasanya kita akan ikut kerajaan Persekutuan, namun tetap bergantung kepada persetujuan kerajaan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan laman sesawang Pusat Kecermerlangan Teknikal (CTE) di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Menurut Morshidi, sudah menjadi amalan sebelum ini, jumlah bonus yang diberikan kepada kira-kira 22,000 kakitangan awam di negeri ini adalah sama dengan kerajaan Persekutuan.
Sarawak merupakan negeri ketiga yang mengikut jejak kerajaan Persekutuan memberi bantuan khas sempena Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan awamnya selepas Selangor dan Pulau Pinang.
Pada 2 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam Gred 1 hingga Gred 54.
Najib berkata, pembayaran bagi bantuan khas yang akan dibuat pada 15 Julai ini diharap dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara yang akan menyambut Aidilfitri pada akhir Julai ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turut mengumumkan kerajaan negeri itu bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM32.7 juta untuk membayar bonus tahunan iaitu sebulan gaji kepada lebih 17,000 kakitangan tetap kontrak dan sambilan.
Kerajaan DAP Pulau Pinang turut mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM600 kepada semua kakitangannya yang akan dibayar sempena Hari Raya Aidilfitri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140710/wb_02/22000-penjawat-awam-Sarawak-bakal-terima-bonus#ixzz373uEkzZm
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment