$$

Monday, April 14, 2014

bila masa sesuai untuk mendapat anak kedua?




Mengapa isu perancangan keluarga penting?


Mungkin ramai pasangan tidak sedar perancangan keluarga perkara asas dalam hidup berumah tangga. Sekali lagi ditegaskan ia bukan bertujuan mengehadkan jumlah anak atau menolak anugerah dari Allah tetapi apa yang dikehendaki ialah kehadiran setiap anak itu memang sangat dinanti dan diharapkan.

Hanya dengan cara ini barulah anak itu akan mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.

Bagaimanapun kata Dr Harlina, isu ini tidak terhenti di situ kerana walaupun anak menjadi penyeri hidup dan pengikat kasih sayang ibu dan bapa tetapi kehadirannya juga boleh menyebabkan berlakunya pergolakan rumah tangga.

Kehidupan wanita moden sangat sibuk. Tidak cukup dengan kesibukan di tempat kerja dan rumah, mereka masih mahu menyumbang kepada masyarakat.

Kehamilan yang tidak dirancang memberi tekanan kepada emosi, fizikal dan kewangan.

“Untuk mendapat hidup yang bahagia kita perlukan lima elemen iaitu ketenangan emosi, kesihatan fizikal, keupayaan ekonomi, kelapangan masa (untuk anak-anak, suami dan diri sendiri) serta sokongan sosial (daripada segi penjagaan anak khususnya).

Jika aspek ini terganggu, maka kita akan mudah terhumban dalam konflik rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.

“Kebanyakan perceraian berlaku dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan, namun kadar lebih tinggi dicatatkan bagi lima tahun pertama kerana pada masa pasangan mula mendapat anak.

Jika tanpa perancangan, dalam tempoh lima tahun anda boleh memperoleh tiga orang anak.

“Namun jika aspek perancangan keluarga sudah dimasukkan atau dibincangkan dari awal, konflik rumah tangga membabitkan anak boleh ditangani dengan baik dan dapat menyelamatkan rumah tangga.

“Sebab itulah pentingnya kesedaran untuk menyusun atur keluarga supaya bukan anak-anak saja yang dapat manfaat tetapi ibu bapa juga boleh membentuk kehidupan berumah tangga yang bahagia,” katanya.

Malah melalui strategi menyusun atur keluarga, ibu dan bapa akan lebih bertanggungjawab dan prihatin pada anak-anak.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dan mempertikaikan bahawa anak adalah anugerah Allah untuk ‘disusun atur’ tetapi kata Dr Harlina, Allah juga memberi kita akal untuk berfikir membuat perencanaan hidup demi kebaikan semua pihak.

Bahkan tidak keterlaluan juga jika dikatakan perancangan keluarga dapat mengelakkan berlakunya sikap pilih kasih.



Bila pasangan sepatutnya berbincang mengenai perancangan keluarga?


Menurut Dr Harlina, isu ini boleh dibincangkan pada bila-bila masa apabila mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.

Antara persoalan perlu dimasukkan dalam perbincangan itu ialah bila mereka mahukan anak, berapa anak yang diingini dan berapa tahun jarak antara dua anak.

Jarak kehamilan yang paling ideal antara 2.5 hingga tiga tahun iaitu anak pertama berusia 2.5 tahun atau tiga tahun ketika kelahiran anak kedua. Pada jarak ini, ibu bapa dapat memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap anak.

Islam tidak menghalang penggunaan kaedah perancangan keluarga bagi memastikan setiap kehamilan dan kelahiran adalah dikehendaki, disayangi dan dialu-alukan.

Malah, ia bukan saja membolehkan ibu bapa bersedia mental, fizikal dan kewangan, tetapi perancangan kehamilan penting untuk kesihatan wanita sendiri.

“Jika wanita berkahwin pada usia 23 hingga 25 tahun, dia boleh menetapkan had umur 35 tahun sebagai tahun terakhir mengandung tetapi dinasihatkan supaya tidak mengandung selepas umur 40 tahun kerana ada banyak risiko.

“Dalam tempoh 10 tahun, dia boleh mempunyai tiga atau empat orang anak jumlah yang sudah dikira mencukupi bagi sesebuah keluarga moden. Jadi dia bolehlah ‘bersara’ awal daripada mengandung.

“Bagaimanapun bagi yang berkahwin lewat contohnya pertengahan 30-an, perlu ada sasaran realistik, jumlah anak mungkin terhad kepada dua orang saja,” katanya.


Di negara kita ada banyak jenis kaedah perancangan keluarga dan antara yang popular ialah:
·  Kaedah semula jadi (contohnya penyusuan bayi atau ejakulasi di luar). Kaedah ini bagaimanapun kurang berkesan.
·  Kaedah halangan seperti kondom. Ia adalah cara pencegahan kehamilan yang baik, murah, mudah dan dapat mengelak jangkitan penyakit seksual.
·  Pemandulan iaitu mengikat peranakan bagi wanita atau lelaki.
·  Pil perancang (wanita).
·  Alat intrauterin (IUD).
·  Sistem intrauterin (IUS).
·  Implan.
·  Suntikan.
·  Tampalan (ditampal di atas kulit badan).
·  Cincin hormon (dimasukkan ke dalam vagina).


Walaupun kaedah disenarai di atas sudah lama ada di negara kita, masih ramai wanita bimbang menggunakannya.

Kebimbangan timbul akibat salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga, malah sesetengahnya percaya kepada pendapat tidak berasas.

Kajian ke atas wanita barat berumur 20 hingga 45 tahun mendapati rata-rata mahukan dua anak saja. Hampir 86 peratus tempoh perkahwinan digunakan untuk mencegah kehamilan (menggunakan pelbagai kaedah perancangan keluarga ketika bersama suami).

Ini bererti wanita di seluruh dunia mahu perlindungan atau pencegahan kehamilan jangka panjang yang selamat dan tidak menjejaskan kesuburan, bagi mengelak kehamilan tidak dikehendaki.


Inilah juga sebabnya semua doktor sakit puan termasuk di PPUKM digalakkan bertanya kepada pesakit tiga soalan penting iaitu:
·  Bila mahu mengandung?
·  Berapa besar saiz keluarga yang dirancang (atau jumlah anak yang diinginkan)?
·  Berapa tahun jarak antara dua kehamilan?


Jadi, jika anda ditanya soalan sebegini, janganlah ada yang terasa hati kerana ia bertujuan baik untuk mendidik kita kepentingan perancangan keluarga.


Perlukah persetujuan suami?

Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaiknya perkara itu dibincangkan, bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di samping menyalurkan ilmu.

Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi kebaikan bersama.

Namun jika suami anda adalah jenis lelaki yang tidak boleh dibawa berbincang, maka tidak salah jika isteri mengambil keputusan sendiri kerana ia dilakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak.



No comments:

Post a Comment