Mengapa isu perancangan keluarga
penting?
Mungkin ramai pasangan tidak sedar perancangan keluarga perkara asas dalam
hidup berumah tangga. Sekali lagi ditegaskan ia bukan bertujuan mengehadkan jumlah
anak atau menolak anugerah dari Allah tetapi apa yang dikehendaki ialah
kehadiran setiap anak itu memang sangat dinanti dan diharapkan.
Hanya dengan cara ini barulah anak itu akan mendapat kasih sayang dan perhatian
sewajarnya daripada ibu bapa.
Bagaimanapun kata Dr Harlina, isu ini tidak terhenti di situ kerana walaupun
anak menjadi penyeri hidup dan pengikat kasih sayang ibu dan bapa tetapi
kehadirannya juga boleh menyebabkan berlakunya pergolakan rumah tangga.
Kehidupan wanita moden sangat sibuk. Tidak cukup dengan kesibukan di tempat
kerja dan rumah, mereka masih mahu menyumbang kepada masyarakat.
Kehamilan yang tidak dirancang memberi tekanan kepada emosi, fizikal dan
kewangan.
“Untuk mendapat hidup yang bahagia kita perlukan lima elemen iaitu ketenangan
emosi, kesihatan fizikal, keupayaan ekonomi, kelapangan masa (untuk anak-anak,
suami dan diri sendiri) serta sokongan sosial (daripada segi penjagaan anak
khususnya).
Jika aspek ini terganggu, maka kita akan mudah terhumban dalam konflik rumah
tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.
“Kebanyakan perceraian berlaku dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan, namun
kadar lebih tinggi dicatatkan bagi lima tahun pertama kerana pada masa pasangan
mula mendapat anak.
Jika tanpa perancangan, dalam tempoh lima tahun anda boleh memperoleh tiga
orang anak.
“Namun jika aspek perancangan keluarga sudah dimasukkan atau dibincangkan dari
awal, konflik rumah tangga membabitkan anak boleh ditangani dengan baik dan
dapat menyelamatkan rumah tangga.
“Sebab itulah pentingnya kesedaran untuk menyusun atur keluarga supaya bukan
anak-anak saja yang dapat manfaat tetapi ibu bapa juga boleh membentuk
kehidupan berumah tangga yang bahagia,” katanya.
Malah melalui strategi menyusun atur keluarga, ibu dan bapa akan lebih
bertanggungjawab dan prihatin pada anak-anak.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dan mempertikaikan bahawa anak adalah anugerah
Allah untuk ‘disusun atur’ tetapi kata Dr Harlina, Allah juga memberi kita akal
untuk berfikir membuat perencanaan hidup demi kebaikan semua pihak.
Bahkan tidak keterlaluan juga jika dikatakan perancangan keluarga dapat
mengelakkan berlakunya sikap pilih kasih.
Bila pasangan sepatutnya berbincang mengenai perancangan keluarga?
Menurut Dr Harlina, isu ini boleh dibincangkan pada bila-bila masa apabila
mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.
Antara persoalan perlu dimasukkan dalam perbincangan itu ialah bila mereka
mahukan anak, berapa anak yang diingini dan berapa tahun jarak antara dua anak.
Jarak kehamilan yang paling ideal antara 2.5 hingga tiga tahun iaitu anak
pertama berusia 2.5 tahun atau tiga tahun ketika kelahiran anak kedua. Pada
jarak ini, ibu bapa dapat memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap anak.
Islam tidak menghalang penggunaan kaedah perancangan keluarga bagi memastikan
setiap kehamilan dan kelahiran adalah dikehendaki, disayangi dan dialu-alukan.
Malah, ia bukan saja membolehkan ibu bapa bersedia mental, fizikal dan
kewangan, tetapi perancangan kehamilan penting untuk kesihatan wanita sendiri.
“Jika wanita berkahwin pada usia 23 hingga 25 tahun, dia boleh menetapkan had
umur 35 tahun sebagai tahun terakhir mengandung tetapi dinasihatkan supaya
tidak mengandung selepas umur 40 tahun kerana ada banyak risiko.
“Dalam tempoh 10 tahun, dia boleh mempunyai tiga atau empat orang anak jumlah
yang sudah dikira mencukupi bagi sesebuah keluarga moden. Jadi dia bolehlah
‘bersara’ awal daripada mengandung.
“Bagaimanapun bagi yang berkahwin lewat contohnya pertengahan 30-an, perlu ada
sasaran realistik, jumlah anak mungkin terhad kepada dua orang saja,” katanya.
Di negara kita ada banyak jenis kaedah perancangan keluarga dan antara yang
popular ialah:
· Kaedah semula jadi
(contohnya penyusuan bayi atau ejakulasi di luar). Kaedah ini bagaimanapun
kurang berkesan.
· Kaedah halangan
seperti kondom. Ia adalah cara pencegahan kehamilan yang baik, murah, mudah dan
dapat mengelak jangkitan penyakit seksual.
·
Pemandulan iaitu mengikat peranakan bagi wanita atau lelaki.
·
Pil perancang (wanita).
·
Alat intrauterin (IUD).
·
Sistem intrauterin (IUS).
·
Implan.
·
Suntikan.
·
Tampalan (ditampal di atas kulit badan).
· Cincin hormon
(dimasukkan ke dalam vagina).
Walaupun kaedah disenarai di atas sudah lama ada di negara kita, masih ramai
wanita bimbang menggunakannya.
Kebimbangan timbul akibat salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga,
malah sesetengahnya percaya kepada pendapat tidak berasas.
Kajian ke atas wanita barat berumur 20 hingga 45 tahun mendapati rata-rata
mahukan dua anak saja. Hampir 86 peratus tempoh perkahwinan digunakan untuk
mencegah kehamilan (menggunakan pelbagai kaedah perancangan keluarga ketika
bersama suami).
Ini bererti wanita di seluruh dunia mahu perlindungan atau pencegahan kehamilan
jangka panjang yang selamat dan tidak menjejaskan kesuburan, bagi mengelak
kehamilan tidak dikehendaki.
Inilah juga sebabnya semua doktor sakit puan termasuk di PPUKM digalakkan bertanya
kepada pesakit tiga soalan penting iaitu:
·
Bila mahu mengandung?
·
Berapa besar saiz keluarga yang dirancang (atau jumlah anak yang
diinginkan)?
· Berapa tahun jarak
antara dua kehamilan?
Jadi, jika anda ditanya soalan sebegini, janganlah ada yang terasa hati kerana
ia bertujuan baik untuk mendidik kita kepentingan perancangan keluarga.
Perlukah persetujuan suami?
Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaiknya perkara itu dibincangkan,
bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di
samping menyalurkan ilmu.
Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah
perancangan keluarga bagi kebaikan bersama.
Namun jika suami anda adalah jenis lelaki yang tidak boleh dibawa berbincang,
maka tidak salah jika isteri mengambil keputusan sendiri kerana ia dilakukan
untuk kebaikan keluarga dan anak-anak.