Memang sukar untuk orang lain pe...rcaya,tapi
itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang
ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu
catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.
Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir
sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum
serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa
hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis
mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika
makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil
memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak
lapar." PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai
besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi
memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil
pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami
adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar
dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk
disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di
tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih
melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan
sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat
menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan."
PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di usia awal remaja, saya
masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah
penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan
kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari
tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di
hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana
mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi
kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum
mengantuk lagi." PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.
Di hujung
musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya
pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah
siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu
saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya
terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan
ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah
selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang
sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak
dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan
saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat
menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" PEMBOHONGAN IBU
YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu
selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil
tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah
di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak
kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga
kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin
parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami,
datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada
seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami
sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat
mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak
perlukan lelaki." PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah
kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua.
Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak
payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit.
Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual
sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang
bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu
memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu
menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu
berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit" PEMBOHONGAN IBU YANG
KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti, saya
melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara.
Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja
dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar
negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk
menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu
sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis
dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan
dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak
ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ;
"Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." PEMBOHONGAN IBU
YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua..
Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser Ibu mesti
dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang
samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya
melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani
pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan
penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak
kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci
tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu
telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan
ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya
terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini.
Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak
sakit." . PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk
dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya
sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun
saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah
sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat
ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu "SEMOGA MENJADI TAULADAN".... :(
No comments:
Post a Comment